Friday, June 30, 2017

Apa Ada Dengan Angka 40?



Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".- Al-Ahqaaf 46:16


TAZKIRAH DAN INGATAN BERSAMA

Nabi Saw pernah sebut tentang Umur manusia khasnya apabila mencecah ke 40 tahun.
Sedikit sebanyak antara maksudnya :

Umur 40 tahun ialah umur dimana kebanyakan kita mula diuji. Ujian boleh datang dari ibubapa (jatuh sakit, kematian), atau dari pasangan hidup (perceraian, jatuh sakit) atau dari anak-anak yang meningkat remaja.
  • Memang bermula 40 tahun, Tuhan akan memanggil kita pulang bertaubat kepadaNya. Panggilan dari Tuhan selalunya berbentuk ujian. Kerana hanya dengan itu kita akan kembali bersimpuh dan bersujud mengadu dan memohon pertolonganNya.
  • Orang yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, memperbaiki hubungan dengan ahli keluarganya, menyimpan untuk hari tuanya. Semua dengan niat mahu berkumpul bersama di syurga nanti.
  • Orang yang kurang bijak tetap leka dan langsung tak membuka deria terhadap panggilan Tuhan. Malah dikala orang lain semua bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan, dia pula mencari masalah baru.
  • Ada yang masih merasakan diri muda belia. Melayan nafsu yang marak menyala padahal kedut dan uban dah tumbuh merata. Sibuk mencari cinta di luar, sedangkan rumahtangga yang halal dibiar berantakan.
  • Amatlah menyedihkan tatkala orang lain bersiap bertemu Tuhan, kita masih ralit dibuai perasaan akibat tertipu dengan nafsu sendiri.
  • Nafsu memang tak pernah tua. Ia sentiasa muda dan galak. Yang semakin lelah dan tua adalah tubuh dan kudrat kita.
  • Rasanya jika Tuhan menghalang tubuh manusia mengalami penuaan, pasti kita semua lebih leka, lebih degil untuk menyahut panggilan pulang.
  • Sehinggalah tiba saat ruh kita diheret dan diseret kembali merengkuk di hadapan Tuhan.
(**tazkirah & peringatan bersama ini hasil daripada perkongsian friendlist di facebook