Sunday, May 15, 2016

Adakah Testimoni Boleh Diterima Pakai?



MENYANGGAH MITOS MENYERLAH KEBENARAN.

Testimoni adalah dakwaan atau pengakuan seseorang mengenai sesuatu perkara atau mengenai seseorang yang dibuat berdasarkan kepada pengalaman sendiri ataupun orang lain, untuk tujuan menyakinkan benar atau tidak benarnya sesuatu fakta.Testimoni seringkali dihasilkan di dalam bentuk tulisan, percakapan, rakaman suara ataupun rakaman video. Terdapat banyak keadaan di mana testimoni digunakan seperti untuk tujuan laporan peribadi, hujah peguambela atau pendakwa di mahkamah, testimoni keberkesanan sesuatu produk kesihatan, penyiaran lapuran kes perubatan  dan lain-lain lagi. 

Untuk ruangan yang terhad ini saya hanya akan menumpukan perbincangan kita kepada testimoni keberkesanan sesuatu produk kesihatan yang sering digunakan oleh orang ramai dan juga pengeluar produk untuk tujuan menyakinkan pengguna.Tidak dapat dinafikan bahawa testimoni mempunyai peranannya di dalam membuktikan ketepatan sesuatu fakta kerana banyak kajian lanjut dilakukan sebagai lanjutan dari hasil pemerhatian ataupun testimoni.

Banyak penemuan sains bermula dari pemerhatian, contohnya penemuan penisilin yang dicetuskan oleh pemerhatian kesan kulat terhadap pembiakan bakteria di dalam plat kaca telah mencetuskan kajian saintifik sehingga terhasilnya antibiotik penisilin. Walau bagaimanapun persoalannya adakah testimoni ataupun pemerhatian ini sudah cukup untuk diterima sebagai bukti keberkesanan dan kemudiannya diamalkan? Ikuti kupasan ringkas tajuk ini.

BAGAIMANA SAINS MEMBUKTIKAN KEBERKESANAN SESUATU PRODUK
Produk kesihatan merangkumi ubat-ubatan (makan,suntikan,semburan dan lain2), alatan ataupun prosedur yang bertujuan untuk mencegah, menyembuh ataupun merawat sesuatu jenis penyakit.Untuk mengaitkan keberkesanan sesuatu produk ke atas sesuatu penyakit, ada LIMA perkara yang perlu difahami tentang penyakit:
1. Penyakit boleh sembuh sendiri tanpa rawatan, maksudnya tubuh badan seseorang itu boleh menyembuhkan penyakit yang dihadapi contohnya dengan sistem imun badan ataupun proses penyembuhan semulajadi tubuh badan.
2. Terdapat penyakit yang bertindakbalas agak lambat terhadap rawatan yang diberikan.
3. Di dalam perubatan terdapat keadaan yang dinamakan kelainan psikosomatik ("psychosomatic disorders") iaitu manifestasi fizikal (gejala fizikal seperti sakit kepala, sakit badan, sakit perut, sakit sendi, dan lain-lain) dialami oleh seseorang yang tidak mengalami masalah sakit fizikal tetapi sebenarnya sedang menghidapi masalah emosi, psikologi ataupun mental.
4. Sebelum sesuatu produk digunakan untuk merawat sesuatu penyakit, penyakit tersebut hendaklah disahkan dahulu oleh doktor dengan kaedah yang tepat berdasarkan kepada teknologi perubatan yang diamalkan.
5. Kesan plasebo adalah fenomena yang boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja yang mengadu sakit. Kesan plasebo adalah fenomena di mana pesakit merasa sembuh dari masalah kesihatan yang dialami walaupun diberi sesuatu benda yang menyerupai ubat sedangkan di dalamnya tidak ada langsung unsur pengubatan (pesakit tidak menyedari perkara ini) seperti hanya mengandungi gula, air kosong, air garam dan lain-lain (termasuk jampi, urutan) yang tidak ada kena mengena dengan penyakit yang hendak disembuhkan. Pesakit merasa lega sebab keyakinan yang tinggi terhadap benda tersebut. Kesan plasebo mempunyai kaitan dengan kelainan psikosomatik di atas.
Dengan kesedaran wujudnya 5 fakta di atas di samping pengetahuan tentang biostatistik, ahli-ahli sains perubatan akan menggunakan kaedah kajian saintifik untuk membuktikan bahawa sesuatu produk tersebut berkesan ataupun tidak berkesan. Rencana mengenai kaedah pembuktian dan kajian saintifik ini dibincangkan dengan panjang lebar di dalam rencana tulisan saya di sini

Ringkasnya, ahli sains perlu melaksanakan beberapa peringkat kajian (mengikut urutan dari awal hingga akhir)  iaitu pemerhatian, hipotesis, kajian pra-klinikal (makmal dan kajian haiwan), kajian fasa 1, kajian fasa 2, kajian fasa 3 dan kajian fasa 4. Setelah berjaya membuktikan keberkesanan produk itu di dalam kajian fasa 3, barulah produk tersebut boleh dicadangkan kepada Penguatkuasa Ubatan untuk tujuan diluluskan bagi kegunaan orang ramai.

Di dalam setiap fasa-fasa kajian ini, keberkesanan ubat, kesan sampingan jangka-pendek ubat terhadap manusia serta anak di dalam kandungan, dos ubat yang optima (minima dan maksima) serta kesan sampingan jangkapanjang akan dikaji dan melibatkan ramai responden dan masa yang panjang. Perbandingan kesan ubat akan dilakukan ke atas dua kumpulan responden iaitu kumpulan yang akan diberi ubat yang diuji dan kumpulan yang diberikan plasebo, apabila kedua-dua kumpulan ini tidak mengetahui apakah yang mereka ambil (ubat ataupun plasebo), maka kajian ini dinamakan "Double blind Prospective Randomized Control Trial". 

Di dalam banyak2 kaedah pembuktian keberkesanan, "double blind prospective control trial" adalah metodologi kajian yang terbaik. Ahli biostatistik akan memastikan bilangan sampel yang optima serta menjalankan ujian biostatistik untuk melihat samada ubat yang digunakan itu memang berkesan merawat penyakit yang dikaji ataupun disebaliknya. Setelah kajian selesai, barulah pengkaji dan pakar biostatistik akan membuat rumusan samada ubat tersebut benar-benar berkesan ataupun sebaliknya.

DI MANAKAH KEDUDUKAN TESTIMONI
Testimoni hanyalah kenyataan atau dakwaan oleh seseorang terhadap kesan sesuatu produk ke atas kesihatan dirinya yang berdasarkan kepada pengalaman, kepercayaan serta ingatan  tanpa mengambil kira 5 pekara yang saya sebutkan di atas. Di dalam istilah perubatan, testimoni boleh disamakan dengan "anecdotal evidences" iaitu kaedah pembuktian yang paling lemah dan tidak boleh digunakan untuk tujuan meyakinkan pengguna apatah lagi untuk tujuan amalan mencegah ataupun merawat penyakit. 

Jika testimoni ini dikaitkan dengan peringkat kajian saintifik, ia sebenarnya hanya layak ditempatkan dalam peringkat pemerhatian (observation) iaitu sebelum kajian pra-klinikal boleh dimulakan (sila baca rencana tulisan saya ini untuk keterangan lanjut mengenai kajian saintifik). Dengan perkataan lain, testimoni hanyalah hasil pemerhatian yang mungkin sekadar cukup untuk meransang ahli sains melakukan kajian pra-klinikal, testimoni tidak memberi apa-apa makna dari segi keberkesanan produk. Seseorang yang memberi testimoni boleh mengatakan apa sahaja yang beliau mahu berdasarkan kepada kepercayaan dan tahap ingatan yang beliau miliki. 

Seseorang yang membuat testimoni tidak boleh lari dari mempunyai kepentingan ke atas produk yang hendak dipasarkan dan pada setiap keadaan hanya testimoni yang baik sahaja akan dikongsikan.Pengeluar produk ataupun pengedar produk akan hanya mencari pengguna-pengguna yang mendapat kesan positif untuk mewar-warkan produk tersebut sedangkan mungkin lebih ramai yang tidak mendapat sebarang manfaat ataupun mengalami kesan sampingan, tetapi tidak diheboh-hebohkan. 

Jikapun ada kesan positif dari produk tersebut, tanpa kajian saintifik yang disebutkan di atas, tidak mungkin dapat membuktikan dengan tepat adanya kaitan di antara produk dan kesan ("causal relationship") kerana pengguna tersebut mungkin akan sembuh walaupun tanpa mengambil sebarang produk atau pengguna tersebut hanya mendapat manfaat kesan plasebo ataupun mungkin pengguna tersebut sudah mengambil ubat-ubatan lain yang kesan positifnya agak lambat. 

Di samping itu, terdapat banyak keadaan di mana pesakit belum lagi disahkan menghidap penyakit tersebut ataupun hanya didakwa oleh pengamal perubatan alternatif. Saya kerapkali berhadapan dengan pesakit yang mengaku menghidap kanser tetapi tidak pernah menjalani ujian pengesahan kanser. Sebaliknya diagnosa tersebut dilakukan oleh pengamal perubatan alternatif ataupun pesakit itu sendiri yang mendiagnosa dirinya sendiri berpandukan kepada buku dan internet. Apabila penyakit belum disahkan lagi, mana mungkin pesakit ataupun perawat boleh mendakwa ada ubat untuk merawat. 


KESIMPULAN
Di dalam mengenalpasti keberkesanan sesatu produk kesihatan, adalah amat penting kepada pengguna untuk memahami proses-proses pembuktian yang tepat supaya mereka tidak mudah terpedaya. Perkataan testimoni mungkin bunyinya hebat tetapi hakikatnya perkataan ini adalah perkataan yang paling banyak mengelirukan orang ramai dan menyebabkan salah faham serta pembaziran wang yang sia-sia.  

Testimoni hanya boleh digunakan sebagai alasan awal bagi kita membuat penyiasatan ataupun kajian lanjut untuk membuktikan keberkesanan.Testimoni tidak pernah diiktiraf sebagai satu kaedah pembuktian yang bermakna untuk dijadikan alasan untuk beramal.  Jangan mudah terpedaya dengan testimoni lebih-lebih lagi jika ianya dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik yang serius seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit darah tinggi, penyakit kanser, penyakit ginjal dan lain-lain. 

Kesilapan anda terpengaruh dengan testimoni boleh menyebabkan bukan sahaja anda kehilangan wang ringgit, tetapi yang lebih serius, penyakit anda menjadi lebih parah, anda mengalami kesan sampingan produk tersebut dan mungkin anda serta ahli keluarga anda boleh kehilangan nyawa. Saya menyeru kepada pengguna dan pengeluar-pengeluar produk kesihatan supaya bersikap jujur dan berhati-hati apabila menggunakan testimoni di dalam mempromosi produk kesihatan kerana anda boleh menjadi sebab musabab kemudaratan orang lain.Semoga rencana ini bermanfaat.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana institusi ataupun pertubuhan.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM
Link asal : Di sini

2 comments:

Sharinginfoz said...

susah gak nak percaya testimoni ni tapi ada juga yang betul.

anyss said...

Assalamualaikum,
ingatkan demo karang sendiri...baru je nak kagum, tetapi ada nama penulisnya kat bawah ;)