Friday, November 04, 2016

Permohonan Bantuan Kebajikan Masyarakat Secara Atas Talian (Online)




Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini telah membuat satu penambahbaikkan dengan mewujudkan permohonan atas talian*  bertujuan untuk memudahkan klien jabatan (golongan sasar). Walaubagaimanapun buat masa ini, projek perintis ini dilaksanakan secara berperingkat dan bermula dengan Perlis, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan Labuan.

 
Pemohon juga boleh membuat semakan status permohonan bantuan secara atas talian* seperti mana gambar di atas.


 

sumber dari laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM).

*** istilah atas talian atau juga dalam talian adalah merujuk kepada perkataan "online". Boleh baca di sini.


Thursday, October 13, 2016

Cara Menukar Kapasitor Kipas (Jenis Menggunakan Alat Kawalan Jauh)


Telah banyak tutorial cara untuk menukar kapasitor kipas secara DIY baik di laman blog ataupun juga youtube. Sekiranya kipas di rumah anda semakin perlahan, anda mungkin boleh mencuba dengan menukar kapasitor yang cuma berharga bawah RM10 sahaja. Lebih banyak anda akan jimat wang daripada upah orang untuk tukar kipas baru.
 

Kipas ini ini adalah jenis yang menggunakan alat kawalan jauh untuk menukar kelajuannya. Bagi kipas yang biasa, lokasi kapasitor nya mungkin berbeza (biasanya di bahagian atas).  Untuk menanggalkan seperti mana gambar di atas, cuma pusing sahaja. Ada sesetengah pula menggunakan skru.
  

Haaaa....tuh dia. Suspek utama telah di jumpai iaitu kotak hitam kecil tu. Kotak hitam itu yang perlu di tukar baru. 


Tanggalkan sahaja sambungan pada pin wayar tersebut.


Bagi memudahkan kerja serta mengelakkan sakit kepala berterusan akibat mendongak terlalu lama adalah lebih mudah mencabut untuk proses penukaran baru kapasitor di buat di bawah.


Ini lah wajah suspek utama yang seeloknya di tanggal dan di bawa ke kedai elektrik (ataupun hardware) agar kita tidak tersalah beli. Atau anda juga boleh minta pandangan juruelektrik yang mahir.

Yang di sebelah kiri adalah yang asal dan di tukar ganti dengan sebelah kanan (rujuk gambar di bawah). Tertanya juga, kenapakah dia punya saiz agak lebih kecil manakala ada juga perbezaan pada 550VAC kepada 450VAC. Setelah siap di pasang, anda akan dapat merasai sedikit perbezaan pada kelajuan tersebut. 


Walaupun tidak menjaminkan waranti boleh bertahan berapa lama, sekurangnya dapatlah jimat sedikit duit dengan bekalan ilmu yang di baca walaupun tiada pengetahuan dalam bidang elektrikal, ianya tidak lah menjadi suatu masalah yang besar. Selamat mencuba !!!

Thursday, October 06, 2016

Dah Jadi Tabiat - Lain Padang Lain Belalang


Mengemas ala kadar bila nak check-out.


Setiap kali selepas makan.


Lain orang mungkin lain ajaran dan didikannya. Bagi kami ini pengajaran kepada anak-anak kami untuk belajar menghormati orang lain.

Friday, September 09, 2016

Setiap Orang Berbeza Pandangannya





Lain padang lain belalang, lain lubuk lain ikannya. Begitulah juga manusia, lain orang lain pula corak pemikiran dan sudut pandangannya. Dan bagi sudut pandangan aku sama seperti 2 komen di atas. Abah takkan jadikan anak-anak abah sebagai "anakku sazali". Membesar dengan sentiasa betul & menang. Salah tetap salah.

Thursday, September 08, 2016

Semak Kelayakan Menerima Dekoder MyTV Secara Percuma Bagi Penerima BR1M

sedih la tak layak, kena beli sendiri dekoder ni... huhuhu


Kepada penerima BR1M, anda boleh menyemak status kelayakan anda untuk dapat dekoder Mytv secara percuma dengan klik di sini. Syarat-syarat kelayakan adalah

1. Gaji di bawah RM800
2. Anda berdaftar dengan LHDN (income tax)

Daripada lebih 6 juta penerima BR1M hanya 2 juta dekoder akan di agihkan secara percuma.

Apakah itu DTT

Digital terrestrial television (DTTV or DTT) is a technological evolution of broadcast television and an advancement over analog television. DTTV broadcasts land-based (terrestrial) signals. 

Untuk maklumat lanjut boleh klik di sini.

update: dari fb MYTV Broadcasting




Wednesday, July 13, 2016

Orang Kota


 Wahai orang kota apakah dikau sedar
Cara hidup kita kini makin berubah
Adat ketimuran makin kita lupakan
Cara kebaratan kini jadi ikutan

Kaya harta miskin budi bicara
Tiap senyuman punya harga
Tepuk dada tanya selera
Oh..kota manakah tujuan kita

Ingin kau jadi New York
Jadi orang asing
Hidup tanpa batasan
Jahil tentang halal haram
Kononnya itulah kemajuan
Tak mahu diri ditertawakan
Oh kota inikah yang kau mahu

Hei orang kota
Kamu sudah lupa

 

Wednesday, June 29, 2016

Bahaya Menyebarkan Berita Palsu - Viral



Masakini seringkali penyakit ingin menjadi orang pertama yang mengetahui sesuatu berita dan terus menyebarkan kepada orang lain tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan berita tersebut. Sedangkan dalam surah ada menekankan untuk kita memastikan sesuatu perkara tersebut terlebih dahulu.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Al-Hujuraat 49:6)

Semalam terjumpa viral di laman facebook berkenaan Hadis Solat Sunat Khas Pada Jumaat Terakhir Di Bulan Ramadhan. Apa yang mendukacitakan status tersebut juga telah di kongsi sebanyak melebihi 1300++ (pada ketika itu). Bayangkan betapa ramainya yang menyebarkan dan berdusta atas nama Nabi Muhammad SAW.

Jika kita tidak mampu atau tidak berupaya untuk menyemak isi kandungan terlebih dahulu, ada baiknya tak perlu la di sebarkan. Jangan sesenangnya kita menyalah guna maksud hadis

"Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat" (HR Bukhari)

Salah satu cara mudah untuk kita mengenal pasti kesahihan tersebut adalah tahap seseorang tersebut adalah mempunyai autoriti atau kepakaran dalam bidang mereka. Sebagai contoh, jika bab kesihatan semestinya kita akan merujuk kepada pegawai perubatan. Jika isu melibatkan kerosakan kereta semestinya kita lebih percaya kepada pomen. Begitu juga dalam bidang agama, ada pakar dalam bidang masing-masing.

"Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui."  (An-Nahl 16:43)

Thursday, June 23, 2016

Jenis-Jenis Agihan Zakat



Alhamdulillah, tertunai sudah zakat fitrah yang di wajibkan ke atas aku & juga tanggunganku. Kami 4 beranak jika di darab RM7 x 4 orang cuma RM28 untuk tempoh setahun. Jika aku nak agihkan sendiri nilai RM28 tu kepada asnaf apalah sangat manfaat yang dapat di gunakan oleh mereka. Beras 5kg pun dah berharga RM15, Minyak masak 3kg pun dah hampir RM10. Tak lepas pun lagi nak beli tepung, gula, susu, garam dan lain-lain keperluan asas.

Insya Allah, aku masih meyakini Institusi Zakat / Baitulmal dalam membuat kutipan dan agihan kepada 8 golongan asnaf. Jika aku memberi sendiri kepada asnaf fakir/miskin, apalah nasib asnaf-asnaf lain yang telah termaktub dalam surah At-Taubah ayat 60 kerana mereka juga berhak.

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana" - (At-Taubah 9:60)

Berikut adalah jenis-jenis agihan zakat oleh Lembaga Zakat Selangor. Boleh rujuk ke link sini untuk zakat selangor manakala untuk zakat MAIWP boleh tengok kat sini.





Walaubagaimanapun sekiranya ada yang meragui kemanakah perginya kutipan serta kepada siapakah agihan wang zakat fitrah mahupun zakat harta (zakat pendapatan, wang simpanan, emas, perniagaan, dan lain-lain lagi) boleh la melawat ke portal Lembaga Zakat Selangor & MAIWP. (klik pada setiap gambar). Boleh download, baca dan faham. Selebihnya kita berserahlah urusan yang kita tidak ketahui dan bukan dalam pengetahuan kita kepada Allah swt.

http://www.zakatselangor.com.my/laporan-kutipan-dan-agihan-zakat/

http://www.maiwp.gov.my/i/index.php/perkhidmatan-kami/muat-turun/category/23-laporan-tahunan

Tuesday, May 31, 2016

Hukum Menipu Menyembunyikan Maklumat Ketika Memohon Bantuan

Keratan akhbar harian metro beberapa hari lepas berkenaan cubaan menipu oleh seseorang lelaki yang kehilangan kad pengenalan bagi mengelakkan dikenakan bayaran denda oleh JPN.


Apabila di balai polis pun, masih ada yang sanggup membuat laporan palsu dan mengemukakan maklumat yang tidak tepat. Apatah lagi apabila berurusan dengan jabatan yang tidak mempunyai kuasa semacam polis. 

Antara contoh adalah kenapa setiap permohonan bantuan kewangan kepada pihak berkenaan seperti zakat atau pusat kebajikan, perlu di perhalusi serta disiasat terlebih dahulu (dokumentasi & sessi temuduga). Ini kerana mereka memegang amanah agar wang yang di salurkan nanti dapat kepada mereka yang benar-benar berhak dari segi kelayakan mengikut peraturan.

Satu soalan telah aku kemukakan kepada 5 orang tokoh yang agak terkemuka di negara kita melalui pertanyaan ke Page Facebook mereka. Kesemuanya bergelar Doktor (PhD) dan bertaraf ustaz. Antaranya Timbalan Menteri di JPM, Dato' Mufti, Penolong Professor di UIAM, Ahli Majlis Fatwa Negeri dan terakhir Exco Pemuda (Ahli Politik).

Assalamualaikum Dr, Saya ada pertanyaan. Apakah hukum seseorang yang membuat penipuan (dokumen/maklumat) dalam permohonan bantuan. Contohnya permohonan zakat / bantuan kebajikan dan beliau menyembunyikan maklumat yang mana sekiranya maklumat tersebut di berikan boleh menyebabkan permohonan tersebut tidak layak (pada peraturan). Dan Apakah hukum jika bantuan (wang) yang diperolehi tersebut di gunakan? Terima kasih Dr.

Hukumnya haram dan duit yg diterimanya juga haram sama seperti mencuri.- Timbalan Menteri di JPM

Waalaikumussalam Berdosa menipu walau apa cara pun. Kita perlu ingat duit bantuan tu milik orang ramai maka berlaku jujurlah. Wallahua'lam. #admin - Dijawab oleh admin page Ahli Majlis Fatwa Negeri.  

Terima kasih kepada Timbalan Menteri yang terus membalas pertanyaan tersebut selang beberapa minit soalan tersebut di kemukakan (sekitar jam 6:20am - 30/5/2016). Sesibuk mana pun jadual menteri, sempat jugak dia meluangkan masa untuk menjawab persoalan. Manakala jawapan kedua daripada Ahli Majlis Fatwa Negeri telah di jawab oleh Admin pentadbir page beliau pada waktu petang sekitar jam 4:48pm. 

Baki lagi 3 pertanyaan hanya di biarkan soalan tersebut di dalam inbox tanpa sebarang jawapan walaupun telah di lihat (baca:seen) oleh 2 orang manakala tanpa dilihat oleh orang politik yang juga bertaraf Ustaz (Doktor). Mungkin soalan ini telah seringkali ditanya dan telah dijawab / diulas oleh mereka sebelum ini maka ada kewajarannya soalan tersebut tidak di jawab lagi.

Monday, May 30, 2016

Membuat Passport Di UTC Mini Keramat

UTC adalah singkatan kepada Urban Transformation Centre atau Pusat Transformasi Bandar. Ia adalah salah satu usaha dan inisiatif Kerajaan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan utama Kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti Bandar di dalam satu pusat sehenti atau di dalam satu bangunan. Nak baca lebih lanjut boleh klik kat sini.


UTC Mini Keramat terletak di Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat, Kampung Datok Keramat, 54000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia. Di sini ada beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perpustakaan, Baitulmal, KPWKM, Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Balai Polis dan juga Klinik Kesihatan (dalam penambahbaikan).

Terdapat juga beberapa unit kedai-kedai serta peniaga-peniaga kecil seperti kedai makan, kedai menjual tudung, kedai gambar, kedai insurans dan pelbagai lagi.


Sabtu 28 Mei 2016 seawal jam 8.30am beratur untuk mengambil nombor untuk berurusan di Imigresen seperti gambar di atas. Dan aku perlu menunggu hampir sejam hanya untuk beratur mengambil nombor giliran yang dah mencecah ke angka melebihi seratus orang (giliran). Manakala giliran untuk berurusan di kaunter pula pada jam hampir kul 1pm dan mengambil masa hampir 30minit untuk membuat passport bagi kami 4 beranak. Passport pula siap selepas sejam (di jangka boleh collect jam 2.20pm).

Sementara siap passport sempat bergegas ke Selayang menghadiri majlis kahwin rakan sekerja.

Untuk nombor giliran, ada bilangan tertentu yang di keluarkan dalam tempoh sehari. Semasa aku nak pergi collect passport yang dah siap, terpampang notis mengatakan nombor giliran pada hari tersebut telah di hentikan (waktu ketika itu jam 3pm lebih)


Sebelum itu, sementara menunggu giliran berurusan di Imigresen, sempat pula berurusan di Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar Kad Pengenalan baru. Di JPN orang yang berurusan tidak begitu ramai. Sangat cepat, tak perlu nak kena isi borang bagai. 

Selepas di beri nombor giliran, hanya tunggu nombor giliran di panggil. Bagi ic lama, imbas cap jari, buat bayaran RM10 untuk menukar kad pengenalan, anda akan di panggil untuk mengambil gambar dan tunggu sejam sementara siap. Tempoh menunggu boleh la pergi sarapan sekejap atau menghabiskan masa membaca buku di perpustakaan (berhadapan Kedai Rakyat 1 Malaysia).

Telah banyak berlaku penambahbaikkan dalam sistem ketika berurusan dengan jabatan kerajaan. Tempoh menunggu telah dipendekkan. Tidak perlu lagi mengisi borang kerana maklumat telah sedia ada telah terdapat dalam myIDENTITY, hanya perlu kepada imbasan cap jari. Losyen juga disediakan untuk disapu pada bahagian jari sekiranya imbasan pada jari anda tidak dapat di baca (scan). Paling penting kamera untuk mengambil gambar telah disediakan. Cuma anda perlu sengih jer depan kamera tersebut. Hehehe....

Tak sabar menunggu masa nak cop kat passport...

Wednesday, May 25, 2016

Melaporkan Asnaf Secara Dalam Talian (Online)



Tahukah anda, kita sebenarnya boleh melaporkan secara dalam talian sekiranya kita mengetahui /menjumpai mana-mana asnaf yang berkelayakan dan perlu di bantu dengan cara klik di Lapor Asnaf. (*Ini adalah link kepada laman web rasmi Lembaga Zakat Selangor (LZS) - melaporkan kes asnaf hanya untuk negeri Selangor sahaja).


Seringkali kita boleh lihat viral di laman sosial berkenaan mereka-mereka yang berkeperluan. Alhamdulillah, ramai rakyat di negara kita yang prihatin dan berkemampuan untuk sama-sama menggalas tanggungjawab sosial. Kita juga boleh memainkan peranan untuk menyalurkan maklumat (yang tepat) kepada pihak berwajib seperti Pusat Zakat, Baitulmal atau juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hubungi Talian Kasih melalui panggilan 15999 untuk melaporkan mengenai Aduan Krisis Masyarakat.



Sanggup kah kita melihat sahaja gambar sebegini (bawah) dengan hanya memberi sedekah butang like di facebook sambil berdoa di laman sosial "semoga hidup anak ini di permudahkan". Ini adalah sebab mengapa zakat dan bersedekah sangat di tuntut (kewajipan) dalam agama kita.


Sunday, May 15, 2016

Adakah Testimoni Boleh Diterima Pakai?



MENYANGGAH MITOS MENYERLAH KEBENARAN.

Testimoni adalah dakwaan atau pengakuan seseorang mengenai sesuatu perkara atau mengenai seseorang yang dibuat berdasarkan kepada pengalaman sendiri ataupun orang lain, untuk tujuan menyakinkan benar atau tidak benarnya sesuatu fakta.Testimoni seringkali dihasilkan di dalam bentuk tulisan, percakapan, rakaman suara ataupun rakaman video. Terdapat banyak keadaan di mana testimoni digunakan seperti untuk tujuan laporan peribadi, hujah peguambela atau pendakwa di mahkamah, testimoni keberkesanan sesuatu produk kesihatan, penyiaran lapuran kes perubatan  dan lain-lain lagi. 

Untuk ruangan yang terhad ini saya hanya akan menumpukan perbincangan kita kepada testimoni keberkesanan sesuatu produk kesihatan yang sering digunakan oleh orang ramai dan juga pengeluar produk untuk tujuan menyakinkan pengguna.Tidak dapat dinafikan bahawa testimoni mempunyai peranannya di dalam membuktikan ketepatan sesuatu fakta kerana banyak kajian lanjut dilakukan sebagai lanjutan dari hasil pemerhatian ataupun testimoni.

Banyak penemuan sains bermula dari pemerhatian, contohnya penemuan penisilin yang dicetuskan oleh pemerhatian kesan kulat terhadap pembiakan bakteria di dalam plat kaca telah mencetuskan kajian saintifik sehingga terhasilnya antibiotik penisilin. Walau bagaimanapun persoalannya adakah testimoni ataupun pemerhatian ini sudah cukup untuk diterima sebagai bukti keberkesanan dan kemudiannya diamalkan? Ikuti kupasan ringkas tajuk ini.

BAGAIMANA SAINS MEMBUKTIKAN KEBERKESANAN SESUATU PRODUK
Produk kesihatan merangkumi ubat-ubatan (makan,suntikan,semburan dan lain2), alatan ataupun prosedur yang bertujuan untuk mencegah, menyembuh ataupun merawat sesuatu jenis penyakit.Untuk mengaitkan keberkesanan sesuatu produk ke atas sesuatu penyakit, ada LIMA perkara yang perlu difahami tentang penyakit:
1. Penyakit boleh sembuh sendiri tanpa rawatan, maksudnya tubuh badan seseorang itu boleh menyembuhkan penyakit yang dihadapi contohnya dengan sistem imun badan ataupun proses penyembuhan semulajadi tubuh badan.
2. Terdapat penyakit yang bertindakbalas agak lambat terhadap rawatan yang diberikan.
3. Di dalam perubatan terdapat keadaan yang dinamakan kelainan psikosomatik ("psychosomatic disorders") iaitu manifestasi fizikal (gejala fizikal seperti sakit kepala, sakit badan, sakit perut, sakit sendi, dan lain-lain) dialami oleh seseorang yang tidak mengalami masalah sakit fizikal tetapi sebenarnya sedang menghidapi masalah emosi, psikologi ataupun mental.
4. Sebelum sesuatu produk digunakan untuk merawat sesuatu penyakit, penyakit tersebut hendaklah disahkan dahulu oleh doktor dengan kaedah yang tepat berdasarkan kepada teknologi perubatan yang diamalkan.
5. Kesan plasebo adalah fenomena yang boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja yang mengadu sakit. Kesan plasebo adalah fenomena di mana pesakit merasa sembuh dari masalah kesihatan yang dialami walaupun diberi sesuatu benda yang menyerupai ubat sedangkan di dalamnya tidak ada langsung unsur pengubatan (pesakit tidak menyedari perkara ini) seperti hanya mengandungi gula, air kosong, air garam dan lain-lain (termasuk jampi, urutan) yang tidak ada kena mengena dengan penyakit yang hendak disembuhkan. Pesakit merasa lega sebab keyakinan yang tinggi terhadap benda tersebut. Kesan plasebo mempunyai kaitan dengan kelainan psikosomatik di atas.
Dengan kesedaran wujudnya 5 fakta di atas di samping pengetahuan tentang biostatistik, ahli-ahli sains perubatan akan menggunakan kaedah kajian saintifik untuk membuktikan bahawa sesuatu produk tersebut berkesan ataupun tidak berkesan. Rencana mengenai kaedah pembuktian dan kajian saintifik ini dibincangkan dengan panjang lebar di dalam rencana tulisan saya di sini

Ringkasnya, ahli sains perlu melaksanakan beberapa peringkat kajian (mengikut urutan dari awal hingga akhir)  iaitu pemerhatian, hipotesis, kajian pra-klinikal (makmal dan kajian haiwan), kajian fasa 1, kajian fasa 2, kajian fasa 3 dan kajian fasa 4. Setelah berjaya membuktikan keberkesanan produk itu di dalam kajian fasa 3, barulah produk tersebut boleh dicadangkan kepada Penguatkuasa Ubatan untuk tujuan diluluskan bagi kegunaan orang ramai.

Di dalam setiap fasa-fasa kajian ini, keberkesanan ubat, kesan sampingan jangka-pendek ubat terhadap manusia serta anak di dalam kandungan, dos ubat yang optima (minima dan maksima) serta kesan sampingan jangkapanjang akan dikaji dan melibatkan ramai responden dan masa yang panjang. Perbandingan kesan ubat akan dilakukan ke atas dua kumpulan responden iaitu kumpulan yang akan diberi ubat yang diuji dan kumpulan yang diberikan plasebo, apabila kedua-dua kumpulan ini tidak mengetahui apakah yang mereka ambil (ubat ataupun plasebo), maka kajian ini dinamakan "Double blind Prospective Randomized Control Trial". 

Di dalam banyak2 kaedah pembuktian keberkesanan, "double blind prospective control trial" adalah metodologi kajian yang terbaik. Ahli biostatistik akan memastikan bilangan sampel yang optima serta menjalankan ujian biostatistik untuk melihat samada ubat yang digunakan itu memang berkesan merawat penyakit yang dikaji ataupun disebaliknya. Setelah kajian selesai, barulah pengkaji dan pakar biostatistik akan membuat rumusan samada ubat tersebut benar-benar berkesan ataupun sebaliknya.

DI MANAKAH KEDUDUKAN TESTIMONI
Testimoni hanyalah kenyataan atau dakwaan oleh seseorang terhadap kesan sesuatu produk ke atas kesihatan dirinya yang berdasarkan kepada pengalaman, kepercayaan serta ingatan  tanpa mengambil kira 5 pekara yang saya sebutkan di atas. Di dalam istilah perubatan, testimoni boleh disamakan dengan "anecdotal evidences" iaitu kaedah pembuktian yang paling lemah dan tidak boleh digunakan untuk tujuan meyakinkan pengguna apatah lagi untuk tujuan amalan mencegah ataupun merawat penyakit. 

Jika testimoni ini dikaitkan dengan peringkat kajian saintifik, ia sebenarnya hanya layak ditempatkan dalam peringkat pemerhatian (observation) iaitu sebelum kajian pra-klinikal boleh dimulakan (sila baca rencana tulisan saya ini untuk keterangan lanjut mengenai kajian saintifik). Dengan perkataan lain, testimoni hanyalah hasil pemerhatian yang mungkin sekadar cukup untuk meransang ahli sains melakukan kajian pra-klinikal, testimoni tidak memberi apa-apa makna dari segi keberkesanan produk. Seseorang yang memberi testimoni boleh mengatakan apa sahaja yang beliau mahu berdasarkan kepada kepercayaan dan tahap ingatan yang beliau miliki. 

Seseorang yang membuat testimoni tidak boleh lari dari mempunyai kepentingan ke atas produk yang hendak dipasarkan dan pada setiap keadaan hanya testimoni yang baik sahaja akan dikongsikan.Pengeluar produk ataupun pengedar produk akan hanya mencari pengguna-pengguna yang mendapat kesan positif untuk mewar-warkan produk tersebut sedangkan mungkin lebih ramai yang tidak mendapat sebarang manfaat ataupun mengalami kesan sampingan, tetapi tidak diheboh-hebohkan. 

Jikapun ada kesan positif dari produk tersebut, tanpa kajian saintifik yang disebutkan di atas, tidak mungkin dapat membuktikan dengan tepat adanya kaitan di antara produk dan kesan ("causal relationship") kerana pengguna tersebut mungkin akan sembuh walaupun tanpa mengambil sebarang produk atau pengguna tersebut hanya mendapat manfaat kesan plasebo ataupun mungkin pengguna tersebut sudah mengambil ubat-ubatan lain yang kesan positifnya agak lambat. 

Di samping itu, terdapat banyak keadaan di mana pesakit belum lagi disahkan menghidap penyakit tersebut ataupun hanya didakwa oleh pengamal perubatan alternatif. Saya kerapkali berhadapan dengan pesakit yang mengaku menghidap kanser tetapi tidak pernah menjalani ujian pengesahan kanser. Sebaliknya diagnosa tersebut dilakukan oleh pengamal perubatan alternatif ataupun pesakit itu sendiri yang mendiagnosa dirinya sendiri berpandukan kepada buku dan internet. Apabila penyakit belum disahkan lagi, mana mungkin pesakit ataupun perawat boleh mendakwa ada ubat untuk merawat. 


KESIMPULAN
Di dalam mengenalpasti keberkesanan sesatu produk kesihatan, adalah amat penting kepada pengguna untuk memahami proses-proses pembuktian yang tepat supaya mereka tidak mudah terpedaya. Perkataan testimoni mungkin bunyinya hebat tetapi hakikatnya perkataan ini adalah perkataan yang paling banyak mengelirukan orang ramai dan menyebabkan salah faham serta pembaziran wang yang sia-sia.  

Testimoni hanya boleh digunakan sebagai alasan awal bagi kita membuat penyiasatan ataupun kajian lanjut untuk membuktikan keberkesanan.Testimoni tidak pernah diiktiraf sebagai satu kaedah pembuktian yang bermakna untuk dijadikan alasan untuk beramal.  Jangan mudah terpedaya dengan testimoni lebih-lebih lagi jika ianya dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik yang serius seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit darah tinggi, penyakit kanser, penyakit ginjal dan lain-lain. 

Kesilapan anda terpengaruh dengan testimoni boleh menyebabkan bukan sahaja anda kehilangan wang ringgit, tetapi yang lebih serius, penyakit anda menjadi lebih parah, anda mengalami kesan sampingan produk tersebut dan mungkin anda serta ahli keluarga anda boleh kehilangan nyawa. Saya menyeru kepada pengguna dan pengeluar-pengeluar produk kesihatan supaya bersikap jujur dan berhati-hati apabila menggunakan testimoni di dalam mempromosi produk kesihatan kerana anda boleh menjadi sebab musabab kemudaratan orang lain.Semoga rencana ini bermanfaat.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana institusi ataupun pertubuhan.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM
Link asal : Di sini