Tuesday, October 11, 2011

Masihkah Anda Ingati Taman Tema Mimaland

Semalam dapat satu kiriman email dari seorang sahabat mengenai Taman Mimaland. Aku cuma pernah mendengar nama tersebut dan tidak pernah rasanya berkesempatan ke sana ketika ianya masih beroperasi . Bila di baca balik sejarah2 Taman Mimaland nie, ianya mungkin meninggalkan kesan atau sejarah tersendiri kepada mereka2 yang kini berusia dalam lingkungan 40-an ke atas dan menjadikan lokasi ini salah satu tempat untuk bercintan-cintun. Hehehehe..... adakah pembaca2 blog ini yang berkesempatan dan ingin berkongsi pengalaman ketika taman ini masih beroperasi suatu ketika dahulu?



Taman rekreasi yang terkenal pada era 1980-an iaitu Mimaland mula dibina dalam tahun 1971. Nama Mimaland yang agak unik itu sebenarnya adalah singkatan daripada gabungan perkataan Malaysia In Miniature Land. Ia dibina di sebuah kawasan berbukit seluas 300 ekar di Ulu Gombak tidak jauh dari Kuala Lumpur. Pembinaan Mimaland dibuat dalam beberapa fasa dan dibuka secara berperingkat.


Fasa pertama Mimaland yang siap dalam tahun 1970-an mengandungi 24 buah motel dan 5 buah chalet serta sebuah kolam renang. Antara tarikan utama Mimaland pada peringkat awalnya ialah 'taman haiwan prasejarah' yang mengandungi binaan model-model dinosaur bersaiz besar yang begitu mengagumkan para pengunjung ketika itu. Beberapa buah filem tempatan pernah membuat penggambaran di situ.


Pada 1984 Mimaland memperkenalkan pula satu lagi tarikan terbarunya iaitu kolam renang yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara, dan semestinya papan luncur air gergasi yang sangat tinggi yang begitu digemari oleh ramai pengunjung. Selain itu Mimaland juga mempunyai beberapa lagi bahagian lain, antaranya ialah sebuah tasik untuk aktiviti bersampan dan memancing, kawasan 'giant maze', serta kawasan untuk merentas rimba.


Setelah bertahun-tahun Mimaland menceriakan hidup ramai orang, sesuatu yang tidak diingini berlaku juga. Satu kemalangan telah terjadi di kawasan papan luncur air gergasi Mimaland pada Januari 1993 yang menyebabkan kematian seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun. Kejadian malang itu mengejutkan orang ramai hingga memaksa pihak Mimaland menutup sementara kawasan yang terlibat iaitu kolam renang dan papan luncurnya bagi dilakukan kerja-kerja penambahbaikan. Pada Mei 1994 pula, berlaku kerosakan pada dinding kolam renang yang sama yang berpunca daripada kejadian kecil tanah runtuh hingga menyebabkan air lumpur memasuki kolam renang tersebut. Sekali lagi, kawasan tersebut ditutup kepada orang ramai.


Pihak pengurusan Mimaland kemudiannya telah diseret ke mahkamah oleh beberapa pihak termasuk agensi kerajaan di atas beberapa dakwaan kesalahan, antaranya ialah kelemahan dalam kawalan keselamatan, serta menjadi punca kepada beberapa masalah alam sekitar. Sepanjang pendakwaan kes tersebut pihak mahkamah telah menghalang Mimaland daripada meneruskan operasinya. Akibat tidak dapat lagi bertahan tanpa beroperasi, Mimaland akhirnya terpaksa menutup terus pintunya buat selama-lamanya pada 1994. Kesan peninggalan Mimaland masih wujud hingga kini.


1980 - Filem Tuan Besar, antara filem tempatan terawal yang membuat penggambaran di Mimaland. Kelihatan pintu gerbang Mimaland dengan logo Bunga Raya, dan adegan pelakon Rahim Jailani dan Fauziah Ahmad Daud sedang melawat taman haiwan prasejarah. Juga kelihatan tasik tempat Azroy dan Suzana bersampan dalam filem Gila-Gila Remaja enam tahun kemudian.


1983 - Filem Mekanik, dimulakan dengan ucapan terima kasih kepada Mimaland. Taman haiwan prasejarah sekali lagi menjadi lokasi pilihan, kali ini untuk menggambarkan babak fantasi zaman batu lakonan Azmil Mustapha dan Julie Faridah (yang kelihatan di situ sedang membasuh buah betiknya sambil ditemani oleh dinosaur yang jinak).


1986 - Filem Gila-Gila Remaja mempunyai banyak dialog kegemaran ramai, antaranya ialah: "Esok jangan lupa, Mimaland!" yang diucapkan oleh pelakon Faizal Hussein. Lokasi tasik menjadi pilihan untuk babak lagu selingan, dan selepas itu Azroy dan Suzana singgah minum di restoran tepi tasik. Kelihatan pekerja di tempat sewa sampan itu memakai t-shirt seragam yang bertulis Mimaland.







1987 - Filem Tempo '88 memilih lokasi penting di Mimaland iaitu kawasan kolam renang terbesar di Asia Tenggara dan papan luncur air gergasi yang menjadi punca berakhirnya era Mimaland enam tahun kemudian. Dua orang pelakon tidak terkenal berlegar-legar di situ dalam sebuah babak mengarut yang diakhiri dengan aksi tipikal, iaitu seseorang perlu jatuh ke dalam kolam renang, dan semestinya orang yang ingin menolongnya juga akan terjatuh sama. Sangat filem Melayu 80-an.




sumber daripada email & credit gambar kepada tuan asal

12 comments:

kakcik said...

Kakcik pernah ke situ waktu muda2 dulu. Sayang tempat itu akhirnya terbiar begitu sahaja. :(

*∽ IZAN ∽* said...

wah nostalgic nyerr..! kiter tak pernah sampaii.. jauhhhh.

siapa yg pernah pergi bila tengok entry nih mesti tangkap syahdu huhuhuhu

eelobor said...

kakcik: hehehe....cantik tak tempat tu dulu akak?

izan: hehehe....tengah menunggu komen2 dari mereka yang ada pengalaman kat situ....

sahromnasrudin said...

tak dan nak pi huhuhhh

AzMask said...

pernah dengar.. tapi tak pernah pergi.. mimaland in memory ler nih ek.. boleh ke nak masuk kat tapaknya skang?

eelobor said...

sahromnasrudin: mungkin saudara kategori bawah 40-an kut.....

AzMask: tak pasti la pula boleh masuk ke tidak.....

Kakzakie said...

Kakak pun pernah dengar juga tapi zaman kecik dulu kan kakak susah so tak merasa pun pergi sini...

amirah said...

sayangnya terbiar jadik mcm tu sekali...

JunAina said...

hanya pernah sampai ke pintu gerbang. sayang tempat macam tu terbiar...

Amy Syaquena said...

Sebelum nie pernah dengar je tapi untuk sampai ke situ x pernah lagi..

azieazah said...

Best entri ini, lengkap dgn gambar sekali.

Sayang sekali kini Mimaland menjadi sejarah dan sebutan orang2 di zaman retro dulu sahaja.

Kak Azie memang tak berkesempatan kerana mula datang ke KL pada tahun 1987.

Kita bimbang, banyak lagi tempat2 sebegini akan menerima nasib yg sama. Diharap dgn teknologi dan kepakaran canggih, ianya tidak akan berulang.

azeerin said...

sangat nostalgia..lokasi penggambaran filem era 70an,80an dulu